Hari Sabat Tuhan Yang Sekarang Ini
Inilah suatu masalah yang menyusahkan ramai orang sekarang ini. Di dalam hati sanubari mereka, mereka merasa bahawa mereka harus memelihara satu hari dalam seminggu sebagai suatu hari yang suci, tetapi oleh kerana perubahan zaman dan kebiasaan, mereka tidak merasa pasti hari manakah, jikalau memang ada, yang menjadi hari Tuhan. Adakah kita memerlukan suatu hari Sabat sekarang ini? bolehkan kita mengetahui manakah hari Tuhan dalam dunia yang moden ini? Ramai orang Kristian sejati yang merasa risau. Mungkin engkau juga. Mungkin engkau mengatakan kepada dirimu sendiri, saya mahu jika sekiranya Tuhan mahu menjelaskan apa yang dikehendakiNya saya lakukan.
Jikalau demikian, maka kerisauanmu mungkin akan berakhir sekarang. Engkau akan menemukan jawapannya, terang sebagai siang, di dalam Alkitabmu.
ADAKAH KITA MEMERLUKAN SUATU HARI SABAT SEKARANG INI?
Adam memerlukan suatu hari Sabat sebelum dosa memasuki dunia; dan Yesus walaupun la dalam keadaan suci dan murni, telah memelihara hari Sabat dengan saksama. Jikalau Yesus perlu memelihara hari Sabat, tentulah kita juga perlu memeliharnya. Dan tentulah kita harus memelihara hari Sabat yang sama seperti yang dipelihara Nya dan yang dimintaNya kita menguduskannya. Alkitab menyatakan bahawa umat-umat Tuhan di akhir zaman adalah orang-orang yang menuruti perintah [hukum] Tuhan: “Yang penting di sini ialah ketekunan orang-orang kudus, yang menuruti perintah Tuhan dan iman kepada Yesus.” Wahyu 14:12. Dalam pelajaran ke-17 kita dapati bahawa hampir seluruh dunia telah melupakan hukum keempat yang menyuruh kita memelihara hari yang ketujuh dalam minggu.
Tetapi sesuai dengan nubuatan ini, umat-umat Tuhan pada akhir zaman akan memelihara segenap sepuluh hukum Tuhan, termasuk hukum yang keempat. Panggilan untuk memelihara semula hari Sabat Tuhan yang sejati, hari Sabtu, hari ketujuh dalam minggu, berhubungan sangat erat amaran dengan terakhir yang harus diberikan kepada dunia. Dalam pelajaran kita yang lampau kita dapati bahawa hari Sabat dalam hukum keempat adalah hari Sabtu, hari ketujuh dalam minggu; bukan hari Ahad, hari yang pertama dalam minggu. Nyatalah telah berabad-abad lamanya ramai orang Kristian yang hanya menuruti sembilan saja daripada Sepuluh Hukum itu.
Baru pada seratus tahun yang lalu berdirilah suatu pergerakan sedunia untuk kembali kepada Tuhan dan menuruti segenap Sepuluh Hukum itu, termasuk yang keempat, atau hukum hari Sabat. Pergerakan hari Sabat sangat berhubungan erat dengan zaman akhir ini sebelum hari kiamat. Walaupun pada zaman lampau ada orang-orang yang selamat, meskipun mereka memelihara hari yang pertama dalam minggu, panggilan Tuhan kepada segenap dunia sekarang ini adalah supaya manusia menuruti segenap hukum, termasuk hari SabatNya yang kudus. Tetapi ada orang yang berkata bahawa tidaklah perlu menguduskan suatu hari tertentu, dan kita harus menguduskan tiap-tiap hari.
Namun demikian, tidak ada orang yang dapat berhenti daripada menjual atau membeli, bekerja atau bermain pada tiap-tiap hari sepanjang minggu. Oleh sebab itulah, tidak mungkin menguduskan tiap-tiap hari.
HARUSKAH KITA MENGUDUSKAN HARI AHAD?
Adakah perintah Alkitab untuk menguduskan hari Ahad, hari yang pertama dalam minggu? Beberapa tahun yang lampau ada seorang paderi Katolik yang agung dan terpelajar, Bapa Enright namanya, telah menawarkan $1,000 kepada siapa saja yang boleh menemukan satu ayat di dalam Alkitab yang mengajarkan bahawa hari Ahad adalah hari suci. Beribu-ribu orang yang telah memeriksa Alkitab mereka untuk mencari kebenarannya, namun dengan penuh kehairanan mereka tidak menjumpai satu ayat pun yang membuktikan bahawa hari Ahad adalah hari Sabat. Hal ini telah sangat menggemparkan ramai orang!
Hari pertama dalam minggu hanya lapan kali saja disebutkan di dalam Perjanjian Baru, dan tidak pernah menyebutkannya sebagai hari Sabat atau hari suci. Segenap Alkitab mengajarkan pemeliharaan Sabat hari ketujuh-hari Sabtu. Tidak ada seorang pun yang telah memenangkan hadiah $1,000 itu, sebab hari Ahad adalah hari perbaktian yang diadakan oleh manusia, dan pemeliharaan hari Ahad tidak pernah diajarkan dalam Alkitab.
Adakah Yesus memperhatikan jikalau kita terus memelihara hari Ahad dan bukannya hari Sabat? Yesus bersabda “Mengapa kamu pun melanggar perintah Tuhan demi adat-istiadat nenek moyangmu? … Percuma mereka beribadah kepadaku, sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah perintah manusia… Setiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapaku yang di syurga akan dicabut dengan akarnya.” Matius 15:3-13. Adakah yang lebih jelas daripada ini? Yesus telah mengatakan kepada para pengikutNya bahawa jikalau mereka menurut akan adat-istiadat (peraturan pengajaran buatan manusia) dan bukannya menurut akan hukum-hukum Nya, maka sia-sialah mereka menyembah Dia dan kepercayaan mereka itu akan dicabut dengan akarnya. Jadi, kita bertanggungjawab pada diri kita sendiri untuk mengetahui mana yang menjadi adat-istiadat manusia dan mana yang benar-benar menjadi hukum-hukum Yesus.
HARI SABAT DALAM GEREJA KRISTIAN YANG MULA-MULA
Ada orang yang mengatakan, bahawa Paulus, pengabar injil terbesar di antara orang-orang Kafir, menguduskan hari Ahad bukannya hari Sabat. Tetapi apakah yang dikatakan oleh Alkitab? “Seperti biasa Paulus masuk ke rumah ibadat itu. Tiga hari Sabat berturut-turut ia membincangkan dengan mereka bahagian-bahagian dari Kitab Suci.” Kisah 17:2. Paulus pergi ke gereja pada tiap-tiap Sabat, hari yang ketujuh; itulah “kebiasannya”, adatnya, tabiatnya. Alkitab mengatakan mengenai perkara ini dengan sangat jelas sehingga tidak ada orang yang boleh menjadi bingung.
Ada orang yang akan mengatakan kepadamu bahawa hari Sabat tidak dikuduskan lagi sesudah penyaliban. Tetapi setiap kali dinyatakan mengenai hari perhentian Perjanjian Baru-sesudah atau pun sebelum kematian Yesus-selalu adalah hari Sabat, hari yang ketujuh itu. Menurut Perjanjian Baru, hari Sabat adalah satu-satunya hari yang pernah dikuduskan oleh Yesus dan murid-murid Nya, dan hari itu saja yang mereka ajarkan kapada orang-orang untuk disucikan.
ASAL USUL PEMELIHARAAN HARI AHAD
Bagaimanakah orang telah mula memelihara hari Ahad? Sementara gereja yang mula-mula semakin bertambah kuasanya, kemasyhurannya pun semakin bertambah. Oleh kerana semakin masyhur, maka gereja itu pun semakin menjadi kaya dan duniawi. Para pemimpinnya memasukkan banyak pengajaran palsu dan berbagai perbuatan kafir ke dalam gereja. Ramai orang yang telah bergabung dengan gereja dalam nama saja namun masih kafir dalam hati mereka; mereka mahu berpegang pada kepercayaan mereka yang lama, yang disalahkan oleh hukum-hukum Tuhan. Maka untuk menahan orang-orang itu para pemimpin melalaikan Sepuluh Hukum atau mengubahkan hukum-hukum itu sesuai dengan kepercayaan mereka yang lama.
Telah lebih dari tiga ribu tahun lamanya orang-orang kafir menyembah matahari, Perjanjian Lama berisi banyak amaran terhadap penyembahan matahari, kerana perbuatan demikian lazim pada zaman itu. (Lihat Ulangan 4:19, 17:3; 2 Raja-raja 23:5, 11; Yehezkiel 8:16). Orang-orang lazim merayakan hari-hari pesta yang besar dengan tari-menari dan meminum minuman keras untuk menghormati matahari; kadang-kadang mereka menyebut hari pesta yang besar ini hari-hari matahari. Dari perkataan itulah kita mendapat perkataan Sunday.
- [Sunday hari matahari;
- Ahad (bahasa Arab) = hari pertama].
Berjuta-juta orang sekarang ini tidak menyedari bahawa mereka sedang. menghinakan Tuhan dengan berbakti pada hari Ahad, hari perayaan kafir untuk matahari. Berpuluh ribu orang Kristian yang setia mendapati kesalahan mereka langsung berbalik kepada hari Sabat Tuhan dalam Alkitab. Oleh menghormati hari ketujuh milik Tuhan, mereka sedang menuruti hukum keempat dan menyembah Tuhan sebagai Pencipta langit dan bumi. Dalam tahun 321 Masihi Constantine, Maharaja Roma mengeluarkan perintah supaya seluruh Kerajaan Roma harus merayakan hari yang pertama dalam minggu sebagai suatu hari perayaan atau hari cuti. Semua pejabat pemerintah harus ditutup. Dalam mengeluarkan perintah ini, ia dengan terang-terangan menyebut hari yang pertama dalam minggu itu sebagai “hari matahari” yang harus dihormati. la tahu bahawa hari Ahad adalah hari raya kafir yang dalamnya diadakan penyembahan kepada matahari. (Engkau boleh membaca mengenai ini di dalam berbagai buku ensiklopedia dan sejarah dalam perpustakaanmu).
Ketika diadakan Mesyuarat Loadikea, pada tahun 336, 364, 365 Masihi (tarikh yang tepat tidak ada persetujuan di antara ahli-ahli sejarah), gereja telah mengambil suatu langkah yang lain untuk menggantikan hari Sabat dari hari Sabtu menjadi hari Ahad. Oleh yang demikian gereja telah berpegangan tangan dengan pemerintah dalam meninggalkan hukum. Mereka menerangkan bahawa dengan mengadakan perubahan yang demikian maka mereka akan merayakan hari Ahad untuk menghormati kebangkitan Yesus. Namun Tuhan tidak pernah menyuruh kita menguduskan hari Ahad untuk menghormati kebangkitan Nya, dan tidak ada manusia atau rombongan manusia mana pun yang boleh menjadikan sesuatu hari suci. Nyatalah hari Ahad adalah tetap seperti biasa-hari pesta kekafiran.
Dalam masa yang lama ramai orang yang tidak dapat mengadakan keputusan apakah mereka akan terus menguduskan hari Sabat yang dipelihara oleh Yesus, atau menggantikannya dengan memelihara hari Ahad, hari yang ditentukan oleh manusia. Tentu saja, sekarang ini, ramai orang yang tidak menghiraukannya. Apabila engkau cakapkan kepada orang-orang mengenai memelihara hari Sabat yang benar daripada Tuhan, hari ketujuh dalam minggu, mereka hanya menggerakkan bahu mereka dan berkata, “Oh, adalah bezanya?” Rupanya mereka tidak menginsafi bahawa apabila terang Alkitab datang kepada mereka, mereka akan bertanggungjawab dalam hari penghakiman kerana telah menolak menguduskan hari Sabat.
Untuk beberapa ratus tahun lamanya ada orang-orang yang memelihara hari Sabtu, sementara yang lain-lain menguduskan hari Ahad, dan malah ada yang memelihara kedua hari itu. Tetapi dalam suatu zaman hampir semua orang telah mengikuti pemerintah Roma dan gereja yang murtad, dalam memelihara hari Ahad, hari perbaktian buatan manusia. Sungguh menyedihkan! Kebenaran-kebenaran Alkitab yang diajarkan oleh Yesus, Terang Dunia itu, telah ditutup oleh gereja yang diakui pada masa itu.
Engkau mungkin bertanya, “Bagaimana mungkin gereja melakukan ini?” Engkau. tahu, gereja mengaku mempunyai hak mengubahkan firman Tuhan bahkan mengubahkan Sepuluh Hukum yang dituliskan dengan jari Tuhan. Oleh yang demikian berjuta-juta orang yang telah dan masih tertipu sehingga mereka terus memelihara hari Ahad. Tetapi kita harus menjadikan Yesus pemimpin kita dan bukan menurut berbagai pengajaran manusia. Tuhan sangat berduka bila la melihat para pendeta menutup mata mereka terhadap hari Sabat. Tuhan menjelaskan: “Imam-imamnya memperkosa hukum TauratKu….mereka menutup mata terhadap hari-hari Sabatku. Demikianlah Aku dinajiskan di tengah-tengah mereka.” Yehezkiel 22:26.
REFORMASI (PEMBAHARUAN)
Pada kira-kira empat ratus tahun yang lampau terjadilah suatu kebangunan besar, yang disebut Reformasi. Orang-orang mulai mempelajari Alkitab bagi diri mereka dan mengikuti pengajaran-pengajaran Alkitab dan bukan lagi pengajaran-pengajaran palsu daripada para pemimpin ağama yang palsu. Dalam khutbah-khutbah para Pembaharu mereka memanggil manusia untuk kembali kepada Alkitab dan kepada keselamatan oleh iman dalam Yesus. Para utusan Tuhan yang agung ini mengadakan banyak pembaharuan yang penting bagi gereja, tetapi mereka tidak mengadakan pembaharuan mengenai hari Sabat. Tuhan belum menyuruh mereka mengkhutbahkan berita mengenai hari Sabat, tetapi la telah memberikan mereka berita-berita mengenai kebenaran-kebenaran Alkitab yang lain yang penting pada zaman mereka. Orang-orang ini tidak akan dituntut kerana kegagalan mereka menguduskan hari Sabat; kerana menurut para nabi, kebangunan dalam menguduskan hari Sabat dan memelihara segenap Sepuluh Hukum itu akan terjadi pada akhir zaman.
PANGGILAN TUHAN UNTUK KEMBALI KEPADA PEMELIHARAAN HARI SABAT
Telah sejak seratus tahun yang lalu umat-umat Tuhan meneruskan pekerjaan Pembaharuan, memanggil orang-orang untuk kembali kepada Alkitab seluruhnya, termasuk Sepuluh Hukum. Berita pembaharuan ini sedang dikhutbahkan dalam hampir setiap negeri di dunia ini, dan beribu-ribu yang sedang meninggalkan pengajaran manusia lalu menurut akan hukum-hukum Tuhan. Pergerakan akhir zaman ini untuk kembali kepada Alkitab dan Sepuluh Hukum telah diramalkan di dalam nubuatan Alkitab.
Wahyu 14:12-14. Tuhan telah perintahkan para jurukhabarNya di akhir zaman untuk menyuruh orang-orang kembali kepada Sepuluh HukumNya yang suci: “Serukanlah kuat-kuat, janganlah tahan-tahan! Nyaringkanlah suaramu bagaikan sangkakala, beritahukanlah kepada umatku pelanggaran mereka dan kepada keturunan Yakub dosa mereka,…Apabila engkau tidak menginjak-injak hukum Sabat dan tidak melakukan urusanmu pada hari kudusku,… Maka engkau akan bersenang-senang kerana Tuhan, dan Aku akan membuat engkau melintasi puncak bukit-bukit di bumi…” Yesaya 58:1 – 14. Tuhan menyebut hari Sabat itu “Hari Kudusku.” Mahukah engkau mengindahkan panggilan Tuhan untuk kembali kepada hari SabatNya yang benar sementara ramai orang yang terus menderhaka?
Janganlah berkata, ‘Tetapi terlampau sukar. Orang akan mengira saya ini aneh. Saya tersendiri jikalau saya berubah dan menguduskan hari Sabat.” Ingatlah, para askar meninggalkan jantung hati mereka, ayah mereka, emak mereka, isteri mereka, anak-anak mereka, pekerjaan mereka dan rumah mereka yang indah untuk memenuhi panggilan tanah air mereka dan mengikut bendera mereka. Tidakkah engkau mahu melakukan sebanyak itu bagi Yesus yang telah meninggalkan segala sesuatu untuk engkau?
Mahukah engkau mengadakan keputusan sekarang? Janganlah engkau melakukan ini kerana untuk memenuhi tuntutan saja, tetapi lakukan ini sebagai suatu tindakan kasih. Gunakanlah hari itu dengan Tuhan kerana engkau mengasihi Dia dan Dia mengasihi engkau. Maka hari itu akan sungguh-sungguh suatu hari yang paling berbahagia bagimu sepanjang minggu, dan berkat-berkat hari Sabat yang dijanjikan akan menjadi bahagianmu.

Tuhan telah menetapkan hari sabat sebagai center kepada prinsipNya dan menetapkan hari sabat itu sebagai tanda antara Dia sebagai Pencipta dan kita sebagai ciptaanNya.