Perumpamaan tentang anak yang hilang

Konteks perumpamaan ini dimulai dengan suatu pertembungan yang dialami oleh Yesus dengan orang-orang Farisi dan ahli-ahli Taurat. Pada permulaan Lukas pasal 15, kita membaca bahawa semua pemungut cukai dan orang berdosa datang mendekati Yesus untuk mendengarNya. Namun, orang-orang Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut. Mereka berkata, “Orang ini menerima orang berdosa dan makan bersama-sama mereka” (ayat 2). Itulah sebabnya Yesus menyampaikan ketiga-tiga perumpamaan ini. Dia telah mendengar kritikan bahawa Dia bergaul dengan pemungut cukai dan orang berdosa. Bukan sahaja Dia bergaul dengan mereka, malah Dia turut makan bersama-sama mereka. Orang-orang Farisi dan ahli-ahli Taurat sangat terkejut kerana perkara ini melanggar segala prinsip yang mereka pegang teguh. Mereka mengamalkan sejenis pemisahan rohani, dengan mempercayai bahawa keselamatan diperoleh melalui pengasingan; iaitu dengan menjauhkan diri daripada sesiapa sahaja yang dianggap telah dicemari oleh kejahatan. 

Namun mereka melihat Yesus meluangkan masa bersama orang berdosa dan pemungut cukai. Yesus bersama pemungut cukai dan orang berdosa bukan kerana Dia mahu menjadi seperti mereka, tetapi kerana Dia digerakkan oleh belas kasihan. Pada kesempatan yang lain, Yesus berkata, “Orang yang sihat tidak memerlukan tabib, tetapi orang yang sakit. Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, melainkan orang berdosa supaya mereka bertaubat” (Lukas 5:31–32). Di situlah Yesus meluangkan masaNya. Sebagai respons terhadap kritikan keras daripada ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi, Yesus terlebih dahulu menyampaikan dua perumpamaan yang ringkas sebelum menyampaikan kisah yang lebih panjang yang baru sahaja kita baca.

Kemudian Dia berkata:

“Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki. Anak yang bongsu berkata kepada bapanya, ‘Bapa, berikanlah kepadaku bahagian harta yang menjadi hakku.’ Lalu bapanya membahagikan hartanya antara mereka” (ayat 11–12). Dalam dunia zaman dahulu, sebagaimana yang masih berlaku pada hari ini, harta pusaka biasanya diwariskan kepada anak-anak dan cucu-cucu selepas kematian pemilik harta tersebut. Dalam keadaan yang jarang berlaku, seseorang yang kaya mungkin memberikan sebahagian hartanya kepada anak-anak sebelum kematiannya. Namun, perkara itu sangat jarang berlaku kerana ia mungkin memerlukan harta tersebut dicairkan (dipecahkan) terlebih dahulu untuk dibahagikan kepada para pewaris. Namun, perkara itu tidak mengganggu anak lelaki ini. Dia seolah-olah berkata, “Bapa, aku mahu harta pusakaku, dan aku mahu sekarang. Aku tidak mahu menunggu sehingga engkau meninggal dunia.” Dia ialah seorang anak muda yang tidak mahu menangguhkan kepuasan. Dia mahu mendapatkannya sekarang supaya dia dapat menikmatinya sekarang.

Kita mungkin tidak mahu menyamakan diri kita dengan anak muda ini. Namun, kita menjadi seperti dia apabila kita membelanjakan wang yang tidak kita miliki, hidup melebihi kemampuan kita, atau sengaja menangguhkan pembayaran hutang kepada orang lain. Hidup melebihi kemampuan dan membazirkan apa yang telah dipercayakan kepada kita merupakan pengurusan yang buruk. Itulah bukan cara Tuhan mahu umatNya menjalani kehidupan. Dalam kisah ini, anak muda tersebut berkata, “Berikanlah kepadaku bahagian harta yang menjadi hakku.”

Salah satu perkara yang luar biasa dalam kisah ini ialah bapanya bersetuju tanpa menyatakan apa-apa syarat. Bapa itu membenarkan anaknya pergi bersama harta pusakanya. “Tidak lama kemudian, anak yang bongsu itu mengumpulkan segala miliknya lalu pergi ke negeri yang jauh. Di sana dia memboroskan hartanya dengan hidup berfoya-foya” (ayat 13). Perkara pertama yang dilakukan oleh anak muda itu selepas menerima harta pusakanya ialah mengumpulkan segala miliknya dan meninggalkan rumah. Dia meninggalkan lingkungan keluarganya serta batasan yang diberikan oleh ibu bapanya. Dia tidak pergi ke bandar berdekatan, tempat orang mungkin mengenalinya. Sebaliknya, dia pergi ke negeri yang jauh, tempat dia tidak dikenali oleh sesiapa. Dia pergi ke tempat yang jauh supaya dia dapat melakukan apa sahaja yang selama ini diinginkannya tanpa sebarang batasan. Di negeri yang jauh itu, “dia memboroskan hartanya dengan hidup berfoya-foya.”

“Kemudian, setelah dia menghabiskan semuanya, berlaku kebuluran yang dahsyat di negeri itu, lalu dia mula mengalami kekurangan. Maka dia pergi bekerja dengan salah seorang penduduk negeri itu, yang menyuruhnya ke ladang untuk memberi makan babi. Dia sangat ingin mengisi perutnya dengan makanan yang dimakan oleh babi itu, tetapi tidak seorang pun memberikan apa-apa kepadanya” (ayat 14–16). Seorang yang hidup secara boros ialah seseorang yang membazir secara melampau. Anak muda ini bukan sahaja membazirkan wangnya dan masanya yang lebih buruk lagi, dia sedang membazirkan hidupnya. Dia menghabiskan kekayaannya dalam kehidupan yang liar dan tidak bermoral. Akhirnya, dia menjadi miskin dan terpaksa hidup bersama babi.

Kita semua mungkin mengenali orang yang kita kasihi yang telah membazirkan hidup mereka melalui cara hidup seperti ini. Kehidupan seperti itu sering membawa kepada penderitaan, kehinaan, dan kehancuran. Adakah sesuatu yang lebih tragis daripada kehidupan yang disia-siakan? Membazirkan wang memang suatu kerugian, tetapi membazirkan seluruh kehidupan adalah satu tragedi yang jauh lebih besar. Yesus menyampaikan kisah ini kerana Dia mengambil berat tentang orang seperti anak muda tersebut. Orang-orang Farisi mungkin tidak mengambil peduli tentang seorang anak muda yang membazirkan hartanya dan akhirnya hidup bersama babi, tetapi Tuhan yang mulia mengambil berat.

Inti perumpamaan ini sama seperti inti perumpamaan tentang domba yang hilang dan dirham yang hilang: Apabila mereka yang hilang ditemukan, itulah masa untuk bersukacita dan merayakannya bahkan di syurga.

Cahaya Tuhan bersinar..

“Tetapi ketika dia menyedari keadaannya…” (ayat 17). Inilah titik perubahan dalam kehidupan Anak yang Hilang. Setiap daripada ketiga-tiga perumpamaan ini mempunyai saat perubahan yang penting. Dalam perumpamaan tentang domba yang hilang, titik perubahannya ialah apabila gembala itu, setelah mencari dengan tekun, akhirnya menemukan domba tersebut, mengangkatnya dengan lembut, meletakkannya di atas bahunya, lalu membawanya pulang. Dalam perumpamaan tentang dirham yang hilang, titik perubahannya ialah apabila wanita itu, setelah menyapu seluruh rumah dan mencari di setiap sudut, akhirnya melihat kilauan kecil dirham itu dan menemukannya.

Saat cemas dalam perumpamaan Anak yang Hilang ialah apabila dia “menyedari keadaannya.” Itulah satu cara yang menarik untuk menggambarkan keadaannya. Orang yang terjerumus ke dalam kemerosotan hidup seperti yang dialami oleh Anak yang Hilang sering mengalami kehancuran yang semakin mendalam. Namun, pada saat itulah sesuatu berlaku. Anak muda itu akhirnya menyedari keadaannya. Bagaimanakah hal itu berlaku? Dengan kata yang lain dia tidak menyedari keadaannya dengan kekuatannya sendiri. Seseorang yang telah jatuh begitu jauh yang mati dalam dosa dan tenggelam begitu dalam secara Rohani tidak mampu memulihkan dirinya sendiri dengan kekuatannya sendiri. Anak muda itu seperti seseorang yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri secara rohani, lalu akhirnya terjaga.

Dia dibangunkan bukan oleh dirinya sendiri, tetapi oleh Tuhan. Dia dibangunkan oleh kuasa Tuhan, iaitu Roh Kudus. Dalam Matius 16, Yesus mengumpulkan murid-muridNya lalu bertanya, “Menurut orang, siapakah Anak Manusia?” Mereka menjawab, “Ada yang mengatakan Yohanes Pembaptis, ada yang mengatakan Elia, ada pula yang mengatakan Yeremia atau salah seorang daripada nabi.” Kemudian Yesus bertanya, “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku?” Itulah satu pertanyaan yang harus dijawab oleh setiap kita. Petrus menjawab, “Engkau ialah Kristus, Anak Allah yang hidup.” Apabila Petrus mengucapkan kata-kata itu, Yesus segera memberkatinya: “Berbahagialah engkau, Simon anak Yunus, kerana bukan manusia yang menyatakan hal itu kepadamu, melainkan Bapa-Ku yang di syurga” (Matius 16:13–17).

Yesus berkata bahawa Petrus diberkati kerana dia telah dibukakan kepada pengertian tentang siapakah Yesus. Dia mengakui kebenaran itu bukan semata-mata melalui pengetahuan manusia atau pendidikannya, tetapi melalui penyataan daripada Allah. Ada perbezaan yang besar antara sekadar mengetahui bahawa Tuhan itu kudus dan penuh kasih karunia, dengan benar-benar melihat dan merasakan keindahan kekudusan dan kasih karuniaNya. Apabila seseorang benar-benar melihat Yesus sebagaimana Dia sepatutnya dilihat, itu bukan sekadar pendapat manusia. Apabila hati dan jiwa seseorang disentuh sehingga dia melihat keindahan, kemuliaan, dan kasih karunia Tuhan, itu adalah anugerah daripada Allah. Melalui cahaya Tuhan, anak muda itu akhirnya menyedari keadaannya.

Dia berkata:

“Betapa banyaknya pekerja upahan bapaku yang mempunyai makanan berlimpah-limpah, sedangkan aku di sini mati kelaparan! Aku akan bangun dan pergi kepada bapaku. Aku akan berkata kepadanya, ‘Bapa, aku telah berdosa terhadap syurga dan terhadap bapa. Aku tidak layak lagi disebut anak bapa. Jadikanlah aku seperti salah seorang daripada pekerja upahan bapa’” (ayat 17–19).Dia telah berdosa terhadap bapanya dan juga terhadap keluarganya. Namun, seperti semua dosa, akhirnya dosa itu adalah terhadap Tuhan. Daud, ketika dia bertaubat daripada dosanya yang besar, berkata: “Terhadap Engkau, terhadap Engkau sahaja aku telah berdosa dan melakukan apa yang jahat di mata-Mu” (Mazmur 51:4).

Tuhan tidak akan membawa seseorang kepada kasih karunia dan keselamatan tanpa pada masa yang sama menyedarkannya tentang dosanya. Kita tidak akan benar-benar memahami Injil sebagai berita baik sehingga kita memahami bahawa Injil adalah berita baik tentang pengampunan Tuhan terhadap dosa kita. Kita mungkin mengetahui bahawa kita berdosa kerana kita masih mempunyai hati nurani. Namun, seseorang tidak dapat mengalami kelahiran semula tanpa terlebih dahulu menyedari bahawa dia seorang yang berdosa.

Kita melihat hal ini dalam diri anak muda tersebut apabila dia berkata: “Aku akan bangun dan pergi kepada bapaku.” Itulah pertobatan. Pertobatan ialah berpaling kembali kepada Dia yang telah kita sakiti. “Lalu bangunlah dia dan pergi kepada bapanya” (ayat 20). Ingat, dia telah pergi ke negeri yang jauh. Bagaimanakah dia dapat pulang? Dia sudah tidak mempunyai apa-apa lagi. Dia tidak mempunyai wang untuk membeli tunggangan. Satu-satunya cara untuk pulang ialah berjalan kaki. Semakin jauh dia berjalan, semakin letih dia. Pakainya semakin lusuh dan kotor. Dia pulang dalam keadaan seperti seorang pengemis.

Kasih seorang Bapa..

“Tetapi ketika dia masih jauh, bapanya melihat dia lalu tergeraklah hatinya oleh belas kasihan. Bapanya berlari mendapatkan dia, memeluknya dan menciumnya” (ayat 20). Bapanya melihatnya dari jauh. Yesus tidak menjelaskan bagaimana bapa itu dapat mengenalinya dari jarak yang begitu jauh. Namun, bapanya tahu. Dia mengenali anaknya. Lalu bapa itu berlari mendapatkannya. Seperti gembala yang menemukan dombanya yang hilang, dan seperti wanita yang menemukan dirhamnya yang hilang, bapa itu bersukacita. Anak yang telah memalukan bapanya itu pulang dalam pakaian yang kotor dan lusuh. Namun, bapanya menyambutnya dengan pelukan dan ciuman. Itulah gambaran tentang apa yang Tuhan lakukan terhadap setiap orang berdosa yang bertaubat.

Anak itu berkata:

“Bapa, aku telah berdosa terhadap syurga dan terhadap bapa. Aku tidak layak lagi disebut anak bapa” (ayat 21). Namun, bapa itu segera memberikan perintah kepada para hambanya: “Segeralah bawa pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepadanya. Letakkanlah cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. Bawalah anak lembu yang telah digemukkan itu dan sembelihlah. Marilah kita makan dan bersukacita. Sebab anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan sudah ditemukan.” Lalu mereka pun mula bersukacita (ayat 22–24).

Si anak sulung...

“Sementara itu, anaknya yang sulung berada di ladang. Ketika dia pulang dan semakin dekat ke rumah, dia mendengar bunyi muzik dan tarian. Dia memanggil salah seorang hamba dan bertanya apa yang sedang berlaku. Hamba itu berkata kepadanya, ‘Adikmu telah pulang, dan bapamu telah menyembelih anak lembu yang telah digemukkan kerana dia telah menerima anaknya kembali dengan selamat.’ Tetapi anak sulung itu menjadi marah dan tidak mahu masuk. Bapanya keluar dan memujuknya.

Namun dia menjawab, ‘Sudah bertahun-tahun aku melayani bapa dan tidak pernah melanggar perintah bapa, tetapi bapa tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepadaku untuk bersukacita bersama sahabat-sahabatku. Tetapi apabila anak bapa ini pulang yang telah menghabiskan harta bapa dengan kehidupan yang berdosa bapa menyembelih anak lembu yang telah digemukkan untuknya!’” (ayat 25–30).

Si Anak Sulung yang seorang lagi tidak meminta harta pusakanya lebih awal. Dia tidak pergi ke negeri yang jauh. Dia tidak membazirkan hidupnya dalam kehidupan yang liar. Dia berada di ladang dan bekerja seperti biasa. Apabila dia mendengar bunyi muzik dan kegembiraan, dia bertanya kepada seorang hamba tentang apa yang sedang berlaku. Apabila dia mengetahui apa yang dilakukan oleh bapanya untuk meraikan kepulangan adiknya, dia enggan masuk. Sikap anak sulung ini jelas menggambarkan sikap orang-orang Farisi yang sedang ditegur oleh Yesus. Bapa itu memujuk anak sulungnya. Namun, anak itu mengeluh dan seolah-olah berkata, “Anakmu itu tidak layak. Engkau tidak pernah melakukan perkara seperti ini untukku.” Namun bapanya menjawab: “Anakku, engkau sentiasa bersama-sama aku, dan segala milikku adalah milikmu. Tetapi kita harus bersukacita dan bergembira, kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan sudah ditemukan” (ayat 31–32).

Dan para malaikat di syurga bersukacita….

0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x